Dengan usahasama Jabatan Kerja Sosial Perubatan di hospital-hospital terpilih, Yayasan Ikhlas telah menjalankan Projek Bantu Pesakit Sihat, yang telah bermula sejak 26 Februari 2019.
Inisiatif projek ini adalah demi membantu pesakit-pesakit daripada keluarga miskin dan kurang berkemampuan yang memerlukan peralatan perubatan dengan kos yang tinggi. Tambahan pula, bagi meneruskan rawatan, mereka amat memerlukan bantuan alat perubatan tertentu yang mencecah ratusan malahan ribuan ringgit.
Selain faktor pendapatan isi rumah yang rendah (golongan B40), pesakit-pesakit ini juga tidak mempunyai saluran lain untuk memohon bantuan tambahan apatah lagi terdapat ahli keluarga lain yang lebih memerlukan.
Selain itu, keperluan untuk mendapatkan alatan perubatan ini amat mendesak demi memastikan mereka terus positif untuk sihat. Semoga pesakit-pesakit ini lebih bersemangat untuk meneruskan rawatan lantaran kos rawatan yang tinggi dengan tambahan keperluan alat bantu pesakit yang diperlukan.
Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Namun begitu, kejayaan kami adalah untuk melihat pesakit-pesakit ini kembali pulih dan terus ceria meniti hari-hari mereka
Rasulullah SAW menjelaskan kelebihan menolong orang lain yang dalam kesusahan, maksudnya: “Sesiapa yang melepaskan satu kesusahan seorang mukmin, pasti Allah akan melepaskan daripadanya satu kesusahan pada hari kiamat. Sesiapa yang menjadikan urusan orang lain mudah, pasti Allah akan memudahkan urusannya di dunia dan di akhirat.”
(Hadis riwayat Muslim)
Adik Aisy yang berusia 5 tahun adalah penghidap penyakit Treacher Collins Syndrome sejak lahir. Ayahnya hanya bekerja sebagai pemandu lori dengan gaji kurang RM2000 dan mempunyai 2 orang tanggungan lain. Perbelanjaan untuk rawatan adik Aisy memakan sebanyak RM800 sebulan, tidak mampu ditampung dengan pendapatan ayah sekarang. Yayasan Ikhlas telah membantu adik Aisy dengan memberi kerusi roda untuk memudahkan pergerakan hariannya.
Nabil Najmi didiagnos dengan Cerebral Palsy sejak 24 tahun lalu, akibat lemas dalam perut semasa dilahirkan. Nabil terpaksa menanggung sindrom ini seumur hidup kerana ia kecacatan otak kekal. Ayahnya seorang pesara PDRM dengan pencen RM1,600 dan mempunyai 3 orang tanggungan, terpaksa menampung kos perubatan Nabil Najmi sebanyak RM500 sebulan. Yayasan Ikhlas telah membantu menampung kos perubatan tersebut untuk meringankan beban keluarga Nabil Najmi.
Adik Syakiela juga seorang penghidap Cerebral Palsy sejak berumur setahun, akibat demam panas. Kos perbelanjaan perubatan memakan kos sebanyak RM600 sebulan. Pendapatan ayah yang berniaga sate secara kecil-kecilan dengan purata pendapatan RM 1,200 sebulan. Yayasan Ikhlas menyalurkan sumbangan kerusi roda yang mempunyai sistem khas bagi mengurangkan sakit dan memudahkan pergerakan pesakit.
(Setiap sumbangan layak menerima resit pengecualian cukai)
No 25-1-1, 27-1-1, Jalan Pusat Bandar 1A,
Seksyen 9, 43650 Bandar Baru Bangi, Selangor.
HQ Contact | 603-89265954
HQ Fax | 603-89261520
Office | 6012-9790211
Emel: admin@yayasanikhlas.org.my
Website: http://www.yayasanikhlas.org.my/